Kategori Latihan Peralihan
Berikut merupakan kategori latihan peralihan yang ditawarkan kepada anggota sebagai persediaan ke arah kerjaya kedua selepas tamat perkhidmatan.
1. Latihan/Kursus Vokasional dan Teknikal
Latihan atau kursus ini diikuti oleh anggota di institusi latihan dalam bidang pilihan masing-masing. Ia merangkumi latihan asas, peningkatan tahap kemahiran serta persijilan bagi anggota yang telah memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Peserta berpeluang meningkatkan tahap kemahiran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang tertentu.
2. Latihan/Kursus Pertanian dan Penternakan
Latihan/kursus ini berbentuk teori dan amali dalam bidang pertanian atau penternakan. Ia bertujuan memberi pengetahuan praktikal kepada anggota yang berminat menceburi sektor agro sebagai sumber kerjaya selepas tamat perkhidmatan.
3. Latihan Sambil Kerja
Anggota ditempatkan di organisasi Kerajaan atau bukan Kerajaan mengikut bidang kemahiran yang dipilih. Melalui latihan ini, anggota bukan sahaja dilatih secara praktikal, malah berpeluang untuk mendapat pekerjaan selepas TTP.
4. Latihan/Kursus Bidang Pengurusan
Kategori ini memberi pendedahan dan peningkatan kemahiran dalam bidang pengurusan organisasi sama ada di sektor Kerajaan atau Swasta. Latihan boleh dilaksanakan di Institusi Pengajian Awam atau swasta bagi membantu anggota bersedia memegang jawatan pengurusan selepas bersara.
5. Latihan/Kursus di Institut Kemahiran dan Keusahawanan (IKK) PERHEBAT
a) Skim Latihan Utama
- (1) Perantisan Dalam Industri – Latihan berasaskan kemahiran industri yang merangkumi tahap asas hingga lanjutan. Peserta akan menerima sijil PERHEBAT dan/atau SKM yang diiktiraf oleh badan berkaitan seperti MLVK. Latihan ini bertujuan meningkatkan kebolehpasaran anggota dalam industri.
- (2) Kursus Peningkatan Kemahiran – Kursus ini khusus untuk anggota yang telah memiliki kemahiran teknikal yang diiktiraf semasa dalam perkhidmatan dan berhasrat mempertingkatkan tahap kemahirannya.
- (3) Latihan/Kursus Bidang Perniagaan – Latihan/Kursus ini untuk memberi ilmu dan pendedahan kepada anggota yang cenderung dalam bidang perniagaan.
b) Skim Keusahawanan
Latihan dalam bidang keusahawanan ini khusus untuk anggota yang terpilih dan mempunyai minat untuk menjadi usahawan.
6. Latihan Secara Persendirian
Kategori ini terbuka kepada anggota yang ingin mengikuti latihan berdasarkan minat, pengetahuan dan kecenderungan sendiri tanpa terikat dengan majikan tertentu. Kelulusan adalah tertakluk kepada pertimbangan Ketua Perkhidmatan dan diberikan kepada anggota yang benar-benar layak.